
Kerajaan sedia guna segala sumber bebas kemelesetan ekonomi . Kerajaan akan terus memperkasakan agenda pembangunan belia dan bersedia menggunakan segala sumber yang ada dengan berkesan bagi membangunkan belia di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, harapannya dalam masa terdekat, setiap belia akan bebas dari segala cengkaman kemelesetan ekonomi dan seterusnya dapat bersama dengan kerajaan merencana agenda menobatkan negara di persada dunia berteraskan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.
Berucap merasmikan Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, dekat sini, semalam, beliau turut memberi jaminan, suara golongan berkenaan akan terus didengar dan diiktiraf kerajaan. Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan bersama kerajaan Melaka dan Majlis Belia Malaysia (MBM) itu dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia dari seluruh negara. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Presiden MBM, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Muhyiddin turut meminta belia negara ini berusaha mencari persamaan dan mengelak perbezaan serta menterjemahkan tanggungjawab masing-masing untuk memelihara dan mengekalkan perpaduan. "Dalam membentuk 1Belia, 1Malaysia, belia perlu bersama kerajaan dalam memastikan masyarakat tidak mudah hilang pertimbangan dan membenarkan emosi menguasai diri mereka. Kita tidak boleh beranggapan perpaduan negara kita sudah mantap dan menyebabkan kita tidak perlu berusaha mempertingkatkannya lagi," katanya.
Sementara itu, pada sidang media, Muhyiddin berkata, Barisan Nasional (BN) akan menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung krisis politik di Perak sebelum mengambil sebarang tindakan susulan. Sekarang ini (krisis politik di Perak) masih di mahkamah. Masih ada kes rayuan dan pendengaran ditetapkan oleh mahkamah. Jadi saya fikir elok kita tunggu... kita tak boleh jangka kerana ini soal perundangan dan Perlembagaan," katanya.
Muhyiddin yang Timbalan Pengerusi BN tidak menolak kemungkinan Pakatan Rakyat tidak berminat mengadakan rundingan bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak, apabila mahu isu itu diselesaikan oleh rakyat menerusi pilihanraya. "Kerajaan mempunyai pendirian sendiri berhubung cadangan perundingan itu dan terpulang kepada mereka menyambut cadangan berkenaan. Bagaimanapun dari percakapan mereka, saya nampak mereka macam tak berminat," katanya mengulas cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Sebelum itu, ketika ditemui selepas solat Jumaat di Taman Bukit Rambai, dekat sini, Muhyiddin berkata, situasi politik yang tidak menentu di Perak boleh menjejaskan usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan berharap masalah itu dapat diselesaikan segera supaya tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Muhyiddin berkata, kerajaan prihatin dengan nasib rakyat susulan ekonomi dunia tidak stabil, khususnya golongan berpendapatan rendah dan akan memastikan mereka yang sebelum ini pernah hidup miskin tidak kembali kepada kehidupan itu.
Mengulas mengenai isu membabitkan Parti Progresif Rakyat (PPP) yang kemungkinan berdepan pembatalan pendaftaran selepas dikatakan gagal menghantar laporan mesyuarat sejak 2002, Muhyiddin berkata, kepemimpinan parti berkenaan seharusnya bertindak segera menyelesai-kannya.
Mengulas mengenai isu membabitkan Parti Progresif Rakyat (PPP) yang kemungkinan berdepan pembatalan pendaftaran selepas dikatakan gagal menghantar laporan mesyuarat sejak 2002, Muhyiddin berkata, kepemimpinan parti berkenaan seharusnya bertindak segera menyelesai-kannya.
"Kita harap kepemimpinan tertinggi parti itu bertindak segera berjumpa dengan Pendaftar Pertubuhan. Kalau ada masalah, mungkin masalah kecil, ia mungkin boleh pertimbangkan. Kita mahu PPP kekal dalam BN. Jadi terserahlah kepada parti itu mengambil tindakan menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.
Majlis Belia Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan